18000 Kuala Krai, Kelantan | Tel/Fax: 09-9665195

Sejarah

Pembinaan bangunan sekolah SKSYP2 di tanah seluas 3 ekar bermula pada 1992. Terletak di Jalan Rumah Rehat dalam kawasan Kampung Kubang Lebur, Mukim Bandar Kuala Krai, bersebelahan dengan Mini Zoo dan Muzium Kuala Krai. Idea pembinaan sekolah ini dicetuskan atas alasan pertambahan penduduk dan limpahan murid akibat kawasan yang terhad di SRK Sultan Yahya Petra 1 yang sudah tidak mampu lagi menampung pertambahan bilangan murid pada waktu itu.

Sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan setinggi 3 tingkat, sebuah kantin, tempat perhimpunan, padang permainan dan sebuah makmal komputer yang baru disiapkan pada tahun 2005. Sekolah ini mempunyai sebuah kelas Pra Sekolah yang mula dibuka pada tahun 2000 dan 18 kelas dari tahun 1 hingga 6. Kelas tersebut terbahagi kepada tiga iaitu AZAM, USAHA dan JAYA.

Sejarah awal sekolah ini bermula dengan siapnya bangunan sekolah pada hujung tahun 1993. Kumpulan pertama guru seramai 21 orang termasuk seorang pembantu tadbir dan murid seramai 485 orang telah melangkah masuk ke sekolah ini secara rasminya pada 1 Jan 1994 dengan digepalai oleh En Zakaria b Abdul Ghani selaku Guru Besar pertama sekolah ini. Sebelum siapnya bangunan sekolah ini, kumpulan guru dan pelajar ini menumpang di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil selama setahun.

Sekolah ini diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 2 (SRKSYP2) oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. Nama ini diambil sempena nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, Sultan bagi negeri Kelantan yang ke 27 dan Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke 6 dari 1976 hingga 1979. Angka 2 diberi kerana sudah wujud SRK Sultan Yahya Petra 1 pada ketika itu dan memandangkan sekolah ini adalah kesinambungan daripada peristiwa limpahan murid di sekolah tersebut.